ABIM Desak Kerajaan Myanmar Iktiraf Etnik Rohingya Sebagai Warganegara
14 September 2012:- Sehingga hari ini, kerja-kerja pembersihan etnik Rohingya di Myanmar telah mencatatkan kehancuran jiwa dan prasarana yang besar. Sejumlah 43 kampung penduduk telah diserang dengan 5,915 rumah dibakar, ribuan orang mati dibakar, dibunuh tidak terkecuali mereka yang mati kelaparan, 300 orang cedera parah, 34 masjid dibakar, 4 universiti dan 24 sekolah rosak, 300 penduduk telah ditangkap, 90 ribu orang menjadi pelarian, 500 ribu menderita kelaparan, dan 20 ribu orang mendiami pinggiran sungai dan hutan untuk menyelamatkan diri.
Antara modus operandi pembersihan etnik yang dilakukan keatas etnik Rohingya ini adalah:-
Penafian kerakyatan, sijil kelahiran dan sijil perkahwinan mereka.
Penyembelihan beramai-ramai sepertimana pada tahun 1942 dengan kematian lebih daripada 100, 000 akibat dibunuh.
Perampasan tanah-tanah milik mereka bagi meneruskan projek pembinaan saluran paip gas dan minyak yang merentasi Wilayah Arakan.
Sekatan makanan sehingga menyebabkan mereka hidup dalam keadaan kebuluran.
Menghalau serta merta seramai lebih 300, 000 di kalangan mereka ke Bangladesh pada tahun 1978. Malangnya Kerajaan
Bangladesh enggan untuk menyediakan makanan dan keperluan lain menyebabkan ramai yang mati akibat kebuluran dan penyakit.
Menjadi mangsa perhambaan moden sebagi buruh paksa tanpa dibayar gaji di tapak pembinaan jalan raya, kereta api dan bangunan berek tentera.
Pada tahun 1991 sahaja, seramai 268,000 dari etnik ini melarikan diri kerana Myanmar tidak lagi selamat untuk didiami akibat pembersihan entik berkala oleh tentera Myanmar. Selain daripada itu, etnik Rohingya juga berterusan berhadapan dengan penangkapan arbitrari oleh pihak berkuasa. Penangkapan yang berleluasa ini langsung tidak mempunyai asas dan merupakan satu lagi bentuk penyiksaan yang membuktikan bahawa satu proses penghapusan etnik sememangnya sedang berlaku di Arakan.
ABIM LANCAR KEMPEN ‘CITIZENSHIP FOR ROHINGYA’
Ekoran dari pembersihan etnik yang tidak berperikemanusiaan ke atas etnik Rohingya berabad lamanya, ABIM komited membela nasib etnik Muslim Rohingya dengan melancarkan kempen ‘Citizenship For Rohingya’. ABIM mendesak agar:-
Kerajaan Myanmar bertindak lebih adil dengan mengiktiraf kerakyatan etnik Rohingya dengan jaminan hak asasi yang terpelihara selaras dengan Artikel 15 Deklarasi Hak Asasi Kemanusiaan PBB.
Membebaskan Dr. Tun Aung serta anak perempuan dan menantunya daripada penjara dan menggugurkan segala pertuduhan tanpa bukti yang dikenakan ke atas mereka.
ABIM juga menyeru untuk semua rakyat Malaysia terlibat dalam kempen ‘Citizenship For Rohingya’ supaya keadilan dapat ditegakkan demi kemaslahatan etnik Rohingya yang juga dikenali sebagai ‘Palestine’ di Asia dan manusia perahu.
“MEMARTABATKAN KARAMAH INSANIAH, MEMIMPIN KEBANGKITAN UMMAH”
FADHLINA SIDDIQ
Naib Presiden, ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM)
No comments:
Post a Comment