Program Qurban 2011/1432H di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di bawah Cawangan Pengimarahan (Unit Ibadah & Dakwah) telah mengadakan Program Qurban pada 10 Zulhijjah 1432H bersamaan 6 November lalu. Bertemakan Legasi Pengorbanan Merambak Ketaqwaan, dengan kerjasama NAZA World dan komuniti setempat, program ini telah dilaksanakan secara bergotong-royong dan menarik lebih kurang seramai 150 orang untuk turut sama menyertainya. Sebanyak 18 ekor lembu berjaya diqurbankan manakala dua ekor lagi di sembelih di Kampung Orang Asli Ulu Temu pada hari raya ketiga.
Program ini turut dihadiri oleh Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Syarikat Naza, Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin, yang telah sudi menyumbangkan 9 ekor lembu kesemuanya. Beliau yang hadir untuk bersama solat Sunat I’dul Adha di Masjid Wilayah sejak pagi telah sudi bersama membantu ketika sesi penyembelihan dilaksanakan. Turut bersama ialah Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Tuan Haji Zakariah bin Isa sehingga ke akhir program. Program ini juga telah mendapat liputan yang baik dari pihak media terutamanya TV3 dan TV9.
Selain dari komuniti setempat dan Persatuan Penjaja Selera Duta, anggota bomba dari Balai Bomba Sri Hartamas dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur juga turut sama membantu menjayakan program ini. Selepas penyembelihan, 6 ekor lembu telah diagihkan terus kepada Persatuan Rohingya, Darul Quran Kuala Kubu, Bahagian Saudara Baru JAWI, Pertubuhan Orang Buta dan Surau AnNur. Rata-rata mereka menyatakan kesyukuran dan berterima kasih atas pemberian tersebut dan berharap dengan pemberian ini dapat menggembirakan rakan-rakan mereka yang memerlukan agihan qurban tersebut.
Seekor lembu telah dimasak secara bergotong-royong sepenuhnya sejak pagi tersebut untuk jamuan tengahari. Selesai pengagihan, kesemua yang hadir dijamu dengan jamuan makan tengahari dan program berakhir kira-kira 1.30 petang. Imam Besar telah menyatakan rasa terima kasih kepada pihak NAZA World yang sudi bekerjasama dan juga telah menyumbangkan beberapa ekor lembu. Juga terima kasih kepada komuniti yang terlibat menjayakan program ini sehingga akhir.
Di samping itu program ini dilihat telah berjaya menarik lebih ramai komuniti untuk hadir tanpa disangka-sangka berbanding sebelumnya. Ia juga berjaya membuka satu ruang permulaan kerjasama yang baik antara Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan NAZA World pada program-program yang seterusnya. Harapan Imam Besar, moga program ini mampu menautkan lagi rasa mahabah di antara kakitangan Masjid Wilayah dengan komuniti setempat dan agensi-agensi yang terlibat.
Antara lembu yang disembelih oleh mereka yang berpengalaman
Sesi melapah yang pantas dan tidak memakan masa yang lama
Imam Besar Masjid Wilayah, Ustaz Zakariah Isa yang turut membantu melapah
Kesibukan komuniti yang membantu memotong daging tanpa mengira penat
Pengarah program, Ustaz Ashraf sedang berbincang dengan penyelaras wakil NAZA, Ustaz Suhaimi
anak-kanak yang hadir turut mendapat sumbangan duit raya dari Datuk Wira SM Faisal.
Bahagian memasak sibuk menyediakan hidangan tengahari
.Tarikh : November 16, 2011 - 1:46pm
Editor : musa.mohamad
No comments:
Post a Comment